Menyertai PAS?

Sambil membuat kerja, sempat juga saya menjeling seketika ke harakahdaily.net dan saya tertarik untuk membaca artikel "Masa untuk menyertai PAS " oleh TG Abdul Hadi Awang.

Saya lihat ini adalah pelawaan seorang presiden PAS dan jemputan cukup sopan dan lembut.

Inilah yang kadangkala membuatkan saya tersenyum sendirian. Satu masa dahulu TG Abdul Hadi dilabel sebagai seorang yang tegas dan keras. Berbeza benar dengan watak TG Nik Abdul Aziz, yang dilihat lebih lembut dan boleh dibawa berunding. Tetapi kebelakangan ini saya melihat senario mula berubah. TG Abdul Hadi dilihat agak lembut(bukan lembik) dan cukup diplomatik. Beliau berpandangan jauh dan melihat kaedah dakwah adalah kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu. Beliau tidak lagi dilihat sebagai 'penghukum' tetapi pendakwah yang sebenar. Tahniah buat TG Abdul Hadi. Karektor berbeza kita boleh lihat pada TG Nik Abdul Aziz kebelakngan ini. Tetapi saya tetap berbaik sangka yang TG Nik Abdul Aziz mengambil tindakan sebegini kerana keperluan semasa.

Berbalik kepada artikel tadi, saya melihat penjelasan TG Abdul Hadi cukup baik. Penjelasan yang jelas dan mempunyai fakta yang jelas terutamanya berkaitan dengan perlembagaan PAS. Selain itu beliau juga menerangkan dengan jelas keadaan semasa dan mengapa perlunya menyertai PAS.

Namun begitu saya melihat seruan ini lebih kepada ahli-ahli UMNO walaupun TG ada menyatakan tentang 'penghijrahan' rakyat Malaysia. Beliau ada menegaskan;

"Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS."

Bagi saya TG juga harus melihat kepada mereka yang tidak berparti seperti saya. Seruan yang khusus harus juga diberikan kepada individu 'atas pagar' seperti saya. Kami juga sebenarnya mencari wadah yang sesuai cuma mungkin belum bertemu atau belum sampai seru...

Ulasan

Catatan Popular