Melayu tidak perlukan parti ketiga

Senario politik Melayu kebelakangan ini terutamanya selepas Pilihanraya ke 12(PRU12) mula memperlihatkan kematangan dan keperkasaan politik Melayu disamping mempamirkan dan memperlihatkan kelemahan dan kebodohan kita.

Cukup malang bagi UMNO selaku tulang belakang Barisan Nasional yang menerima tamparan yang amat hebat walau jika dilihat secara terperinci sokongan melayu kepada UMNO masih boleh dikira setia jika dibandingkan dengan sokongan masyarakat cina kepada Gerakan dan MCA serta sokongan masyarakat india terhadap MIC.

PKR yang dipimpin oleh Dato Seri Anwar Ibrahim(DSAI) yang membawa harapan Malaysia Baru telah mempersonakan hati dan perasaan sesetengah rakyat Malaysia yang agak meluat dengan sikap dan kepimpinan Pak Lah pada masa itu. DSAI telah mengambil beberapa langkah proaktif dan defensif(bertahan) dan ada masanya dilihat begitu ofensif(menyerang). Saya masih teringat kata-kata Rustam Abdul Sani – offensive is the best defence.

Karisma dan aura kepimpinan DSAI bukan sahaja meyakinkan masyarakat melayu malah masyarakat bukan melayu. Ditambah pula dengan simpati terhadap beliau. Adunan ini menjadikan PKR begitu kuat hingga mampu menjadi moderator kepada PAS dan DAP. Sedangkan kedua-duanya boleh dikatakan nature enemy jika dilihat dari teras dan prinsip perjuangan.

UMNO telah mula melalui proses transformasi dan perubahan yang agak ketara selepas PRU12. Mereka mula tersedar dari lamunan dan tengadah selepas terhantuk. Pujian harus diberikan kepada Dato Seri Najib Tun Razak atas usaha pemulihan yang beliau lakukan walau mendapat tentangan dari dalam dan luar UMNO.

PAS pula sekarang ini dilihat seperti mempunyai 2 pasukan. Tuan Guru Haji Hadi Awang (TGHA) dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (TGNA). TGHA yang dilihat sebagai cukup keras pada era 80 an, kini dilihat begitu bertoleransi dan berhikmah. Manakala TGNA yang dilihat lembut sebelum ini, dilihat agak tegas kebelakangan ini. Perpaduan dan kerjasama UMNO dan PAS yang lebih dikenali sebagai KERAJAAN PERPADUAN dilihat sebagai langkah mula ke arah perpaduan umat melayu. Ianya juga telah dijadikan modal politik oleh kawan dan lawan PAS untuk menukar saf kepimpinan. Kita lega kerana masalah ini akhirnya dapat diselesaikan dengan bijak walau ribut di cawan kopi yang panas. Bagi saya kedua-dua pihak dalam PAS bertindak atas prinsip dan teras perjuangan yang betul.Kita tidak boleh katakan pihak A betul dan pihak B salah dan sebaliknya.

Parti ‘Bateri 3A’.

Melayu sebenarnya memerlukan PAS dan UMNO sebagai wadah teras perjuangan umat melayu Islam. PAS dan UMNO adalah dua musuh yang pernah bersahabat sebelum ini dan mungkinkah akan bersahabat semula?. Allah maha mengetahui.

PAS mempunyai kekuatannya yang tersendiri dalam meraih dan mendapatkan sokongan orang melayu(walau hakikatnya PAS bukanlah parti melayu tetapi parti muslim). Begitu juga dengan UMNO yang telah berakar umbi di dalam jiwa melayu tua dan muda. Ramai yang beranggapan golongan muda menolak UMNO. Bagi saya anggapan ini menggunakan kayu ukur sebelum PRU 12. Memang tidak dinafikan golongan muda begitu membenci keangkuhan UMNO sebelum PRU12 dan inilah yang membuatkan BN tersungkur dengan begitu teruk. Tetapi kasih dan sayang orang melayu masih ada pada UMNO. Walau mungkin kerana aura dan simpati pada DSAI begitu menonjol hingga menampakkan kekuatan PKR tetapi hakikatnya perangai dan tingkahlaku DSAI ada masanya amat menjolok mata dan menyakitkan hati orang melayu terutamanya tentang apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang. Golongan muda ini bukan hanya menerima dan menelan bulat-bulat apa yang diberitakan oleh Utusan mahupun TV3 tetapi mereka melihat sendiri sejauh mana kita telah ‘dikerbaukan’ dan dicucuk hidung.

Melayu muda mahupun melayu veteran sudah mula sedar tentang nasib dan masa depan bangsa. PRU12 adalah satu pengajaran tentang kekuatan dan kelemahan kita. Kita mula tahu hati dan budi mereka yang mendabik dada sebagai pejuang rakyat, sedangkan jelas mereka hanya perjuangkan cita-cita peribadi dengan menungang kita seperti keldai bodoh.

Saya berpendapat rakyat Malaysia belum bersedia dan tidak memerlukan parti pelbagai kaum. Biarlah setiap bangsa punyai parti yang memperjuangkan nasib mereka. Salahkah orang melayu berpersatuan dikalangan orang melayu, orang cina dikalangan orang cina dan orang india dikalangan orang india. Selama ini pun kita hanya bergaduh mulut. Peristiwa 13 mei pun tidak diingini oleh sesiapapun untuk berlaku lagi. Tanya lah sesiapa pun jawapannya pasti TIDAK!!!.

Parti politik digerakkan oleh kuasa majoriti ahli dan bukannya digerakkan oleh bateri 3A. Oleh itu sebelum menubuhkan parti pelbagai kaum, kita seharusnya berfikir sepuluh kali tentang kesediaan kita dan kebijaksanaan kita untuk berpolitik. Jika tidak, lebih baik kita punyai parti seperti sekarang.

Kesimpulannya, MELAYU PERLUKAN PAS DAN UMNO DALAM PERJUANGAN TETAPI MELAYU TIDAK PERLUKAN PARTI BATERI 3A UNTUK TERUS BERJUANG...

Ulasan

mohd sayuti omar berkata…
Saya telah melihat blog sdr sekali lalu, menarik. Paling merujakan saya ialah phota yg dipaparkan untuk menyejukkan mata sangat menarik. Syabas semoga terus berjuang kerana Allah talan dan RasulNya. Salam.
Tanpa Nama berkata…
Saya ahli UMNO dan percaya PAS adalah parti pilihan saya selepas UMNO. Dalam isu sekarang tindakan UMNO lebih rasional mendepani masalah mendatang org Melayu dan Islam di negara kita. Berbanding dgn PAS yang lebih bersikap memandang serong kpd segala gerakkerja UMNO.

Kedua-dua parti mesti mencari titik pertemuan sekiranya mahu anak cucu kita terjerumus ke lembah kehancuran di negaranya sendiri.
2kali5 berkata…
Terima kasih Tuan MSO atas lawatan tuan ke blog saya. Ianya memberikan saya inspirasi untuk terus berjuang kerana Allah dan Rasul Nya.

Kepada saudara "Anonymous": saya juga berdoa seperti saudara. harap dapat tinggalkan nama di dunia maya ini untuk kita bersahabat.
mr beng berkata…
"kata-kata Rustam Abdul Sani – offensive is the best defence"

kata2 tersebut bukan dari Rustam Abdul Sani tetapi kata2 seorang panglima perang China yg terkenal pada zaman dahulu tetapi saya lupa apa nama panglima tersebut.

hebat sungguh sahabat aku ni (mr daie) skrg ni. rupa2nya masa yg memisahkan kita telah merubah daie yg ku kenali dulu. tahniah daie. teruskan usaha hang. semoga hang berjaya dalam memertabatkan Islam.
2kali5 berkata…
terima kasih sahabatku Mat Beng...

Terima kasih atas teguran tu...maaf atas kesilapan teknikal...

SELAMAT BERJUANG UNTUK KITA SEMUA

Catatan Popular