Siapakah Rokiah Gila ???


Carilah jawapan siapakah Rokiah gila. Adakah dia atau kita yang sebenarnya 'gila'?

Cerita yang aku ingin kongsikan adalah kisah benar -benar memberikan pengajaran yang amat besar buat aku. Aku belajar tentang erti sebuah kehidupan dan nilai kemanusiaan dari peristiwa ini. Aku tahu betapa bersyukurnya aku menjadi aku walau aku mungkin tidak sekacak Fahrin Ahmad atau sekaya Dato K.

Aku dapat rasakan aku bertuah ditakdirkan Allah sebagai hambaNya yang masih waras dan mampu untuk berusaha demi sebuah kehidupan. Walaupun hidup ini ada masanya terasa ada kekurangannya tetapi aku redha dengan apa yang ditakdirkan.

Berbalik kepada cerita yang ingin aku kongsikan tadi, kisah ini membuatkan aku terfikir bahawa sehina-hina kita di dalam kehidupan masih ada manusia yang lebih dipandang hina. Sehebat hebat kita dalam dunia ini, masih ada insan hina yang kita lupakan. Kita selalu berjumpa mereka tetapi kita tidak pernah terfikir untuk belajar dari apa yang kita lihat.



Aku dan orang gila

Suatu hari aku sedang kebingungan kerana aku harus mencari RM150 ribu dalam masa seminggu kerana urusan bisnesku. Pada masa yang sama aku juga sedang menanti bayaran daripada pelanggan aku yang lain. Overdraft yang aku dapat dan baki didalam akaun bank pun mungkin tidak mampu mencecah sebanyak itu. Manakan tidak, gaji staf, overhead aku tanggung dan perbelanjaan lain perlu juga untuk aku sediakan pada masa yang sama. Jangkamasa yang aku ada hanyalah seminggu. Job ini cukup penting dan ianya melibatkan principal utama bisnes aku.

Aku biul dan aku bingung.

Disebabkan terlalu serabut memikirkan masalah, aku langkahkan kakikku ke kedai mamak tidak jauh dari office ku untuk ku tenangkan sebentar gundah gelana di jiwa. Aku tidak tahu apa harus aku lakukan dalam masa yang cukup singkat dan genting bagiku ini. Aku hanya mampu berdoa agar Allah bantu aku di saat aku amat memerlukan ini.

Termenung.

Aku tarik kerusi perlahan dan labuhkan punggungku di kerusi mamak. Tanganku pantas mengeluarkan sebatang rokok dan aku nyalakan. Kepulan-kepulan asap rokok ku hembuskan perlahan. Asap-asap rokok ini seperti menari-nari menghiburkan aku. Mamat india yang sudah tahu minuman kegemaranku menghantar segelas tehtarik kurang manis. Sambil tersenyum dia terus beredar. Ku lihat pelbagai ragam manusia di kedai mamak. Ada yang bersembang kosong,
ada yang menjual insurans dan ada yang sedang memadu asmara. Aku sudah tidak ambil kisah dan ambil pot dengan apa yang mereka buat kerana fikiranku sudah tepu dan penuh dengan masalah bisnesku. Aku biarkan mereka dengan dunia mereka dan aku melayan fikiranku dengan kepulan-kepulan asap rokok sebagai hiburan.

Terkejut.

Sedang aku mengelamun, tiba-tiba aku terkejut bila seorang wanita tua yang berbaju compang camping dan cukup tidak terurus sedang membongkokkan badan di depanku. Dia memohon izin untuk duduk di depanku. Lamunan aku terhenti.

Aku masih terkejut dari mana datangnya wanita tua ini.

“boleh makcik duduk sini..” suaranya lemah…
“duduklah…lagipun saya duduk sorang je…” aku mempelawa.

Mata-mata manusia di dalam kedai mamak semua memandang kami. Rupa-rupanya dia telah pergi ke semua meja tetapi telah dihalau. Mamat India sudah sedia berdiri ditepi wanita tua ini dan aku rasa dia hanya menunggu masa untuk ‘menghantar’ wanita tua ini keluar dari kedai.

Manakan tidak dengan bajunya yang begitu selekeh dan baunya yang cukup meloyakan akan mengganggu siapa sahaja.
“biarkan dia…” rasa kasihan aku pada wanita tua ini membuatkan aku mengarahkan mamat India tadi untuk pergi.
“terima kasih…” dia duduk dengan takut sambil tersenyum…

“makcik dah makan ker…” aku bertanya. Walau mungkin baunya cukup untuk membuatkan aku termuntah, tetapi atas dasar kemanusiaan aku tidak sampai hati untuk bangun dan meninggalkan dia keseorangan. Aku lihat seorang dua anak muda yang duduk tidak jauh dariku bangun ke meja lain. Mungkin mereka tidak tahan. Aku tidak sampai hati. Aku tidak sanggup untuk menghina orang tua ini. Kerana aku tahu bagaimana perasaan jika kita ditinggalkan begitu. Aku akui aku juga tidak tahan dengan bau makcik tadi yang aku rasa cukup lama tidak mandi.

“makcik nak makan masak lemak telur sotong tapi mamak tu tak nak jual kat makcik .makcik ada seringgit je..”
Tanpa ku sangka air jernih bergenang perlahan di kelopak mataku. Aku terasa cukup sebak dan hiba. Aku sedih dan aku cukup sedih bila dia mengeluarkan sehelai keras kosong yang dikoyak seperti duit.

Hatiku tersentuh. Hatiku luluh. Aku tersentuh dan aku terharu. Makcik ini hanya ada cebisan kertas yang dikoyak-koyak dan dibawa kehulu kehilir yang disangka duit, dia sudah tidak tahu membezakan nyata dan angan-angan hidup orang gila. Pada masa inilah air jernih yang tadi bergenang dimata ku turun setitik demi setitik. Aku tidak memaksanya turun tetapi dengan rela dia turun membasahkan pipiku.

“ane..kasi nasi kosong satu…telur sotong masak lemak satu piring…” suaraku serak bila memesan makanan. Mamak tadi terdiam dan mungkin terkejut kerana aku melayan wanita gila ini. Bukan setakat rupanya semua di dalam kedai melihat aku dan makcik tua ini.

Kerana mungkin yang memesan adalah aku yang mereka tahu masih waras, dengan cepat nasi kosong dan masak lemak telur sotong terhidang di atas meja.

“anak dah makan ker..marilah kita makan sama-sama”. Dengan tangan yang tidak berbasuh aku melihat makcik tadi cukup berselera menikmati hidangan di depannya. Aku terdiam. Tidak menyuruh dia membasuh tangan. Aku tidak boleh berfikir. Aku terdiam dan aku terpegun. Aku terharu dengan apa yang aku lihat. Aku masih terkejut.

Makcik tadi cukup berselera menikmati hidangan tanpa memperdulikan aku yang memandangnya dari tadi. Aku juga tidak mampu berhenti untuk memandang dia yang cukup kelaparan. Air mataku mengalir lagi. Aku sudah tidak mampu menahan airmata ini. Aku kesatkan air mataku . namun dia tetap keluar dengan mencurah-curah. Aku cukup sedih. Aku cukup terharu. Aku rasakan betapa bersyukurny a aku ditakdirkan Allah sebagai manusia yang masih waras. Masih mampu meneruskan dan menikmati kehidupan ini.

“anak tak makan ke? Sedap ni..” dia bercakap dengan mulut yang penuh dengan nasi.
Tersembur keluar nasi-nasi dari mulutnya. Perasaan geli dan kotor tadi terus hilang dalam diriku.
Yang ada hanya rasa sedih dan kasihan yang amat sangat.
Aku masih terdiam. Lidahku kelu.
Aku terus melihat orang tua ini menghabiskan nasi dan masak lemak telur sotong. Aku tidak mampu untuk bersuara. Aku hanya mampu diam dan terus diam sahaja…

Hilang semua masalah perniagaan aku tadi. Aku tidak tahu kemana sudah pergi gundah gelana aku tadi. Yang aku tahu sekarang ini perasaan sedih dan hiba melihat insan gila ini menguasai fikiranku.

Dia semakin berselera menikmati hidangan yang aku rasa antara yang paling enak pernah dia rasakan. Aku insaf dan aku sedar betapa bertuahnya kita yang diberikan Allah nikmat yang tidak terhingga. Dalam pada itupun kita sering mempersoalkan kenapa kita tidak dapat itu dan ini.



Kita masih resah dan mengeluh andai kita tidak dilahirkan sebagai insan kacak dan insan lawa.

Sedangkan kita lupa Allah telah memberikan kita terlalu banyak benda hingga kita terlupa untuk mensyukuri satu persatu.

“anak nama apa?” tanya wanita tua ini. Mungkin kerana terlalu lapar dia lupa bertanya namaku pada awal pertemuan kami.

“nizam…makcik” aku menjawab ringkas kerana aku rasakan itulah jawapan paling panjang mampu aku berikan di saat-saat ini.

“Nama makcik Rokiah. Orang panggil makcik, Rokiah gila”. Aku terkejut. Inilah kali pertama aku berjumpa dengan orang gila yang mengakui dirinya gila. Kita jarang dan mungkin tidak pernah berjumpa orang jahat yang mengaku dirinya jahat. Begitulah keadaannya.

“tapi makcik tak gila. Depa je panggil makcik gila. Makcik tak kacau orang. Makcik cuma minta makan. Kalau tak mau bagi pun janganlah panggil makcik gila”. Keluh makcik Rokiah. Aku terus terdiam. Inilah sikap manusia. Yang kaya, cantik dan lawa dipuji setinggi langit dan yang hina, miskin dan buruk rupa paras dihina sehina-hinanya hingga tiada lagi ruang untuk dia hidup dibumi tuhan yang satu.

“ nama apa tadi?”dia bertanya lagi mungkin dia terlupa.
“Nizam…makcik”. sambil menjawab aku tersenyum kecil meligat gelagatnya yang baru habis menikmati keenakan makanan di depannya. Senyuman hiba.
“Nizam… makcik doakan Allah bagi murah rezeki kat Nizam. Allah selamatkan Nizam dunia dan akhirat..” makcik Rokiah bangun sambil menjilat jari-jenarinya. Aku terkejut. Doa dari seorang hamba Allah yang aku hanya berikan sepinggan nasi kosong dan masak lemak telur sotong.

Masih aku ingat pesan mak padaku, bantulah orang tak kira siapa pun mereka. Hari ni hari mereka dan mungkin esok lusa hari kita. Kita tidak selalu di atas dan ada masa kita dibawah.

Sambil berjalan dan seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang makcik Rokiah melangkah pergi meninggalkan aku. Mataku mengekori perlahan pergerakan makcik Rokiah gila hingga hilang dari pandanganku.

Aku bangun dan terus membayar haraga makanan. Tetapi aku seperti terpukau dengan apa yang aku alami tadi. Aku masih terharu dan aku masih sedih kerana bagiku inilah dunia yang penuh dengan kekejaman.
Kuasa Allah

Ketika aku melangkah masuk ke pejabat. Staf aku seperti harimau lapar datang menerkam kepadaku. Mukanya begitu serius dan seperti ada perkara yang amat serius ingin disampaikan padaku.

“ Mr Chan, dah setuju untuk fund projek kita. Dia cakap dia terima Undertaking Letter dari Orix.
Dia kata dia akan transfer duit pagi esok”. Begitu bergembira staff aku menyampaikan berita penting ini.
“Berapa?”tanyaku ringkas
“hundred fifty K la bos…” ringkas jawapannya.

Ya Allah inikah kuasamu atau adakah ini satu kebetulan. Aku terkejut dan aku mula teringat dan terfikir makcik Rokiah. Sedangkan sebelum ni Chan berdolak dalik untuk transfer fund kepadaku.
Kenapa mudah sangat Chan berubah dengan sekelip mata. Sebelum ini Chan takut itu dan ini walaupun Draft Undertaking Letter tu aku dah emelkan minggu lepas. Isinya sama dan tak ada bezanya. Tetapi mengapa hari ni begitu mudah untuk Chan terima semua tu.

Adakah ini kebetulan atau mungkin doa seorang insan yang bernama Rokiah gila. Semenjak hari itu aku sentiasa mencari-cari makcik Rokiah gila yang aku jumpa hari tu. Aku tidak berjumpa dia
lagi selepas itu. Aku bertanya ramai orang namun tiada siapa pun pernah dengar dan kenal dengan Rokiah gila. Hampir saban hari aku menanti makcik Rokiah gila di tempat yang sama dengan harapan makcik Rokiah gila akan merayau-rayau mencari makan. Harapan aku hampa.

Makcik Rokiah gila tidak muncul-muncul lagi selepas itu. Sehingga ke hari ini, aku masih tertanya-tanya …

Siapakah makcik Rokiah gila???

Ulasan

Ya Allah, sesungguhnya dia adalah Malaikat yang turun ke bumi untuk menyerupai ROKIAH GILA. Subhanallah. ALLAH amat menyayangi hambanya yang ikhlas

Catatan Popular