Pesanan buat UMNO

‘Yakin’ dan ‘Percaya’.
Kegagalan, kejatuhan mahupun kemusnahan merupakan perkataan-perkataan yang membawa kesan cukup tidak baik buat kita. Bagai badi sial yang tidak mungkin hilang dengan mandi bunga. Cukup terkesan dan tertekan. Semua manusia cukup takut kepada kegagalan dan kejatuhan. Takut dan menakutkan. Gerun dan menggerunkan.
Di dalam senario politik tanahair peristiwa 8 mac 2009, adalah merupakan peristiwa kejatuhan dan kebangkitan. Kejatuhan yang disifatkan sebagai “tsunami poltik” oleh Barisan Nasional (BN) dan gelombang kebangkitan rakyat oleh Pakatan Rakyat (PR). Kedua-duanya cukup berlawanan. Ada yang ketawa dan ada yang menangis.
Peristiwa ini saya yakin adalah merupakan sebuah pengajaran buat semua(untuk yang menang mahupun yang kalah). Peristiwa ini cukup mengejutkan dan sukar diterima pada awalnya. Lihatlah sahaja proses pembentukan kerajaan negeri pada peringkat awal seperti berlaku di Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Terengganu. Cukup kalut dan cukup merumitkan tanpa mengira siapa yang berkuasa.
Namun begitu, setiap ciptaan mahupun kejadian yang dijadikan Allah mempunyai hikmahnya yang unik dan tersendiri. Manusia yang sombong dan angkuh, mula sedar akan tinggi dan rendahnya langit. Manakala manusia yang tidak menyangka akan sebuah kemenangan mula terloncat-loncat seperti kera kena belacan.
Sambil menyiapkan beberapa kandungan untuk proposal perniagaan saya tadi, mata terpaku sebentar kepada sebuah buku yang tersusun di rak buku. Otak dan mata yang penat mengadap netbook dari awal malam tadi singgah berlabuh di buku merah berkulit keras ini.
Buku “The Age Of Fallibility” tulisan GEORGE SOROS menarik perhatian saya. Saya memang selalu membaca buku-buku sebegini kerana buku-buku ini amat mencabar minda kita dan mengajak kita untuk berfikir secara serius tentang sesuatu perkara khasnya tentang dunia semasa dan dunia masa hadapan kita. Walau ramai yang kurang meminati atau mungkin membenci penulis buku ini, tetapi saya mengambil pendekatan berbeza, take it positive.
Saya tertarik dengan beberapa perenggan buku ini dan saya rasakan kita boleh kongsi bersama di blog saya ini. Berikut adalah antara petikan dari buku tersebut :
Fallibility has a negative sound. Indeed, every advance we make in better understanding the relationship between thinking and reality has a negative connotation because it involves a retreat from perfection. But this negative interpretation is itself a manifestation of our fallibility. Recognizing our fallibility has a positive aspect that ought to outweigh the loss of an illusory perfection. What is imperfect can be improved, and the improvement can manifest itself not only in our thinking but also in reality. If perfect understanding is beyond our reach, the room for improvement is infinite. My interpretation of reflexivity is basically optimistic – but i must admit that, as i grow older and make little headway with my interpretation, i am not immune to despair.
Secara peribadi, saya melihat apa yang ditulis oleh George Soros ada kebenarannya. Saya yakin apa yang ditulis oleh beliau adalah sesuatu yang dilalui sepanjang kehidupan beliau.
Saya melihat apa yang ditulis oleh beliau dan otak saya cuba mentafsirkan apa yang berlaku di arena politik tanahair. Saya tahu apa yang beliau maksudkan lebih kapada dunia beliau sendiri tetapi saya cuba mencari sesuatu yang kita bisa guna pakai di dunia kita sendiri.
Saya cuba kaitkan apa yang berlaku kepada UMNO selepas tsunami politik Malaysia. Walau saya bukan seorang ahli UMNO, tetapi saya masih yakin UMNO masih relevan di persada politik Malaysia khasnya politik melayu. Harus kita akui beberapa parti pembangkang di Malaysia samada yang masih hidup atau yang sudah mati, adalah “adik tiri’ kepada UMNO secara tidak langsung. Jadi secara tidak langsung UMNO masih dan tetap relevan dengan politik melayu Malaysia.
Cuba kita bayangkan apa yang akan berlaku jika tiada UMNO di Malaysia. Mungkin ada yang mengatakan “alhamdulillah”, tetapi sedarkah anda yang musibah dan bala mungkin akan menimpa umat melayu sama seperti jika tiada PAS di dalam arena politik tanahair. Saya berpendapat begini kerana tanpa UMNO mahupun PAS, umat melayu akan kehilangan ‘taring’ politik mereka. Walaupun dua parti ini bermusuhan namun mereka saling perlu memerlukan. Mereka perlu wujud secara bersama dan mati juga secara bersama. Mereka saling bergantungan antara satu sama lain. Samalah mereka seperti menantu dan mertua. Mereka adalah Nature enemy.
Saya tidak ingin menyentuh tentang PAS kali ini kerana PAS berada di dalam keadaan yang selesa(walau tidak begitu selesa). Bagi saya UMNO perlu bangun dan bangkit untuk terus berjuang bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka. Usaha yang harus digembeling bukan sedikit tetapi mereka harus gagahkan diri dengan sebanyak tenaga yang ada untuk bangun dan berjuang. Kembalikan keyakinan rakyat khasnya keyakinan umat melayu Islam. Rakyat membuang mereka sebelum ini bukan kerana benci tetapi kerana marah. Marah-marah sayang. Itulah apa yang saya rasa. Rakyat tidak membuang UMNO di fikiran mereka, Cuma mungkin UMNO sudah tiada di hati mereka. Jika mereka membenci dengan mata hati tetapi mereka masih boleh “menyanyangi” dengan mata fikir. Bukan semua tingkah UMNO yang jelek di mata mereka, masih ada langkah UMNO yang sejuk di hati mereka. Percayalah...
UMNO cuma menghadapi KRISIS KEYAKINAN & KEPERCAYAN dengan umat melayu. Keyakinan dan kepercayaan yang dulu tinggi menggunung pada UMNO telah runtuh dan rebah dipukul tsunami. Tanah yang dulu indah membiru dan subur, sudah menjadi padang jarak padang tekukur. Itulah perlambangan yang dapat saya gambarkan betapa hancurnya ‘yakin’ dan ‘percaya’nya umat melayu kepada UMNO.
UMNO harus sedar yang umat melayu Islam cukup sensitif dengan perkataan YAKIN dan PERCAYA. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam memecahkan rekod negara menjadi pelabur terbanyak dalam skim cepat kaya. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam pernah kehilangan tanahair mereka selama hampir 400 tahun. Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, umat melayu Islam hilang pertimbangan diri dan hilang saudara dan kawan semata-mata kerana anutan politik yang berbeza. Maka UMNO harus ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, mereka perlu lakukan sesuatu untuk mendapatkan semula ‘yakin’ dan ‘percaya’ umat melayu yang pernah menjadi milik UMNO sebelum ini.
Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah juga yang membawa puluhan ribu rakyat ke jalanan kerana menentang apa yang berlaku kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah, rakyat memberi selaut simpati kepada beliau. Apa sahaja yang diucapkan dan diperkatakan oleh manusia yang berlidah perak ini akan dipercayai dan diterima bulat-bulat.
Kerana ‘yakin’ dan ‘percaya’lah juga Mawi mampu menjadi juara AF. Yakin dan percaya yang beliau adalah contoh artis yang berakhlak mulia. Begitu juga yang berlaku kepada ustaz rock dan isu sensasi selepas itu.
UMNO harus belajar dan faham bahawa ‘yakin’ dan ‘percaya’ orang melayu sudah hancur lebur. Ketamakan dan keangkuhan pemimpin yang berkuasa cukup jelek dan jijik di mata rakyat. Rakyat sudah muak dengan janji dan mulut manis pemimpin UMNO. Apa sahaja program UMNO harus punya penaja, jika tidak, program itu tidak lebih dari persidangan atau perjumpaan kerusi-kerusi plastik sahaja.
“But this negative interpretation is itself a manifestation of our fallibility. Recognizing our fallibility has a positive aspect that ought to outweigh the loss of an illusory perfection. What is imperfect can be improved, and the improvement can manifest itself not only in our thinking but also in reality. If perfect understanding is beyond our reach, the room for improvement is infinite.”
Jika pendapat George Soros ini dapat dijadikan panduan dan teguran buat UMNO, saya yakin sesuatu dapat dilakukan secara konkrit untuk mengembalikan semula kegemilangan UMNO di dalam dunia ‘yakin’ dan ‘percaya’ umat melayu Islam. Kita harus sedar tafsiran yang buruk ini sendiri(kehilangan ‘yakin’ dan ‘percaya’) adalah manifestasi keapada kejatuhan UMNO. Apa yang tidak sempurna boleh diperbaiki, dan penambahbaikan ini (mengembalikan semula ‘yakin’ dan ‘percaya’)boleh difahami bukan sahaja di dalam pemikiran kita tetapi akan menjelma di alam realiti semasa.
Nah!!! Lihat sahaja ahli-ahli PAS. Mereka hebat dalam hal ‘yakin’ dan ‘percaya’. Pengalaman mereka sebagai pemanas kerusi pembangkang yang cukup lama, mengajar mereka erti ‘yakin’ dan ‘percaya’. Bagi ahli-ahli PAS, mereka bukan hanya mengharapkan penaja bagi setiap program malah mereka sendiri bersedia untuk menjadi ‘penaja’ kepada program anjuran parti.
Displin mereka tinggi dan komitmen mereka hebat. Mereka sedia untuk berkorban demi kepentingan parti. Mereka tidak mengharapkan apa-apa dari parti, malah parti yang mengharapkan sumbangan mereka. Tidak seperti ahli-anli UMNO yang mengharapkan parti untuk projek mahupun bantuan baju sekolah anak-anak.
Bangunlah UMNO. UMNO sudah tidur lama. Sudah bermimpi hingga ke kayangan. UMNO sudah lupa langkah dan bunga silat politik melayu. Sudah terlalu lama UMNO di kerusi empuk bermimpi puteri kayangan. Sudah sampai masanya UMNO bangun memcuci muka dan bersugi. Bergaul dan bercakaplah dengan rakyat terbanyak. Jadilah pendengar yang baik kepada setiap masalah rakyat. Jadilah pejuang sejati dan bukan hanya mendabik dada dengan sejarah kemerdekaan tanahair yang sekian lama dilupa. Jika UMNO ingin terus menjadi UMNO, berubahlah dengan sedar dan waras. Berubahlah demi masa depan melayu yang kian kelam. Ingatlah UMNO, anak kecil yang bermain api sudah lama terbakar hatinya yang sepi.
‘YAKIN’ DAN ‘PERCAYA’LAH UMNO, ANDA MAMPU MENGUBAHNYA...
Ulasan
re engineering is what is needed here.