Perjuangan PAS 'tidak lengkap' tanpa Cromok

Ramai yang pasti mengerut kening dan dahi serta mengatakan saya gila apabila membaca tajuk saya hari ini.

Tetapi itulah kenyataan yang saya rasakan harus difahami dengan jelas oleh pimpinan PAS khasnya Dewan Pemuda PAS. Walaupun agenda dan teras perjuangan PAS amat bertentangan dengan konsep kumpulan rock metal melayu ini(Cromok) tetapi hakikat tetap hakikat. Tanggungjawab tetap tanggungjawab dan dakwah tetap berhikmah.

Sebelum anda 'melontarkan' jauh-jauh pandangan saya ini, harapan saya berilah peluang untuk membaca dahulu apa yang ingin saya nyatakan. Berikan sedikit masa anda untuk menilai sejauh mana kebenaran pandangan saya. Fikirkan dan renungkan selapang-lapangnya.

Untuk membuatkan anda lebih santai, saya berikan link ini untuk anda mendengar alunan muzik Cromok sambil membaca pandanga saya yang jahil ini (background music).


Kita selalu benar akan menjadi penghukum terhadap sesuatu tanpa kita menilai mengapa dan kenapa sesuatu itu berlaku. Sebab dan musabab. Salah dan silap kita.
Fanatisme kita mengatasi segalanya. Jika kita di dalam jamaah Islam, hanya kita yang benar dan agak sukar kita menerima pandangan orang lain terutama orang yang tidak sebulu dan sehaluan dengan kita.
Zaman Cromok
Ramai antara kita yang dibesarkan di zaman arena rock metal Cromok. Malah ramai juga di antara kita yang pernah mengoyangkan kepala (banging) dengan alunan muzik ini sebelum kita di tarbiah untuk kembali kepada kebenaran. Malah saya yakin ramai juga yang cukup arif dengan kumpulan Cromok ini melebihi apa yang saya tahu.
Sedar atau tidak kumpulan Cromok ini adalah kumpulan metal melayu yang cukup berjaya dulu, kini dan selamanya(maafkan saya kerana meminjam kata-kata ini). Rasanya belum ada kumpulan rock metal melayu yang begitu berjaya walau ramai yang mengakui mereka hanya mendengar orang menjerit dan irama lagu daripada memahami senikata yang disampaikan.
Malah ramai yang menghukum kononnya Cromok ini 'sesat' dan 'menyesatkan'. Kumpulan ini memperjuangkan sesuatu yang melekakan anak muda melayu dan membawa pelbagai budaya yang berwarna kuning, biru, merah mahupun hitam.
Anggapan kita
Cuma kerana anggapan sebegini maka mata kita terpejam rapat untuk mengetahui mengenai kegigihan anak-anak muda melayu ini dalam memperjuangkan muzik mereka. Kesungguhan mereka dalam berjuang di aliran mereka. Sikap dan komitmen mereka yang mungkin boleh dimanfaatkan untuk kerja Islam.
Kita mengatakan mereka ini lalai dan 'lagha'. Kita juga menghukum mereka sebagai golongan yang tidak mengimpikan sebuah perjuangan yang ideal seperti kita. Golongan yang terpesong jauh dari kebenaran.
Tetapi persoalannya adakah kita pasti dengan apa yang kita rasakan. Adakah benar tanggapan kita terhadap 'kelalaian' dan 'lagha' mereka.
Kita juga terlupa bahawa manusia dibesarkan dengan persepsi dunia yang berbeza-beza dan adalah tanggungjawab kita untuk memperbetulkan 'kiblat' semua hamba Allah ke arah kiblat yang satu.
Pernahkah kita?
Kita tidak pernah cuba mendekati golongan sebegini untuk menyelami apa yang terbuku di hati mereka. Hanya kerana mereka memperjuangkan muzik dan mungkin tidak berjubah seperti kita maka kita katakan mereka ini hanyut. Dan kita terus menghukum mereka untuk terus hanyut tanpa menghulurkan tangan untuk membantu.
Adakah kita sudah boleh mendabik dada dan mengakui kita ini alim dan ulama hanya kerana setitik ilmu Allah yang dianugerahkan kepada kita tetapi kita membiarkan saudara kita terus hanyut dibuai dunia yang melekakan ini.
Terlupakah kita Cat Stevens juga pernah sesat tetapi akhirnya kembali ke alam nyata yang disuluhi kebenaran.
Fikirkan dan renung-renungkanlah apakah tanggungjawab kita kepada mereka...

Ulasan

Catatan Popular